Meterai kerjasama strategik – Sinar Harian

SATUMARIN Sdn Bhd (Satumarin), syarikat milik penuh Bumiputera, memeterai kerjasama dengan Marine Nexus, perintis urus niaga perkapalan dalam talian yang berpangkalan di Singapura, bagi menawarkan kepakaran maritim dalam perkhidmatan perkapalan secara dalam talian kepada pelanggan di peringkat global.

Dalam satu kenyataan, Satumarin berkata, kerjasama itu membolehkan Satumarin, sebagai pembekal perkhidmatan kepakaran marin di luar pesisir dan logistik, untuk memberi manfaat kepada pengguna Marine Nexus, terutamanya pembekal dan pemerolehan kapal, dalam meneruskan perkhidmatan tersebut.

Pengarah Projek Satumarin, Kapten Hakeem Haron berkata, kerjasama itu menandakan permulaan yang baik kepada syarikat dalam mengorak langkah baharu, dengan akses 400 pelanggan di peringkat global dari Marine Nexus.

Katanya, antara perkhidmatan teras yang ditawarkan kepada pelanggan dari Marine Nexus termasuklah kawalan marin, pemeriksaan kapal luar pesisir, pemeriksaan jaminan dan kepakaran perundingan marin.

“Satumarin berperanan menjalankan kaji selidik, melaksanakan pemeriksaan serta pengauditan dan kemudahan kapal di seluruh dunia, sejak ditubuhkan pada 2010. Kami bermula dengan projek di Iraq.

“Kini kami giat cari peluang mengembangkan operasi perniagaan di rantau Asia Tenggara, khususnya di Brunei, Indonesia dan Myanmar,” katanya.

Hakeem berkata, Satumarin mendapat standard ISO 9001: 2008, diperakui oleh syarikat maritim tempatan.

“Satumarin pernah diiktiraf salah sebuah daripada 100 syarikat menerima anugerah, dalam 7th SME 100 Fast Moving Companies Award 2015.

“Selain itu, kami juga dianugerahkan penarafan lima bintang dalam program penilaian Penarafan Daya Saing Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk Peningkatan (Score) oleh Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp), pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nexus Marine, Eric Chean Yufei berkata, syarikat itu mendapat idea menubuhkan portal marinnya, hasil perkembangan internet, yang banyak mengubah landskap perniagaan, pada masa kini.

“Apabila kami memulakan perniagaan ini, kami berharap, dengan sokongan dan input daripada industri, kami boleh mencipta sebuah platform dengan memanfaatkan kuasa internet bagi membantu orang ramai, sama ada pemilik, broker, pembeli mahupun penyewa, sekali gus mengurangkan kos pengeluaran dalam keadaan ekonomi semasa,” katanya.

Menerusi platform tersebut, beliau berkata, syarikat itu akan membantu pemasaran yang lebih berkesan, cekap dan efektif, selain membantu memastikan urusan perkapalan lebih mantap pada masa depan.

Pelanggan yang berminat boleh mengakses perkhidmatan Satumarin, melalui laman sesawang Marine Nexus di www.marinenexus.com/search.

Memorandum persefahaman (MoU) itu ditandatangani Hakeem bagi pihak Satumarin, manakala Chean Yufei, sambil disaksikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin pada Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Gas & Minyak Malaysia 2016, baru-baru ini.

satumarin-sinar

Seperti yang dilaporkan di http://www.sinarharian.com.my/bisnes/meterai-kerjasama-strategik-1.572940